KUALA LUMPUR 10 Okt. Wanita di negara ini beruntung kerana kerajaan sentiasa melibatkan golongan itu dalam pembangunan negara dan tidak pernah sesekali mendiskriminasikan mereka.
Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), Tun Musa Hitam berkata, wanita tempatan bukan sahaja diberi peluang menduduki jawatan tinggi dalam kerajaan dan sektor korporat malah penglibatan mereka turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan wanita terus memperkasakan diri dan meningkatkan kualiti bagi memastikan kecemerlangan mereka di dalam dan luar negara.
Sebagai sebuah negara Islam, kita berbangga kerana kerajaan tidak pernah meminggirkan kepentingan wanita sama ada dari segi pendidikan atau keupayaan mereka.
Kini semakin ramai wanita di negara ini menjawat jawatan penting, namun masih banyak yang boleh dilakukan untuk memperkasakan mereka, katanya.
Beliau ditemui selepas menutup Bengkel Keusahawanan Wanita Ketiga anjuran Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di sini, hari ini.
Bengkel yang berlangsung selama sembilan hari bermula 2 Oktober lalu itu disertai 31 peserta dari pelbagai negara antaranya Bangladesh, Indonesia, Iran, Sudan, Kuwait, Myanmar, Filipina dan Malaysia.
Musa berkata, kejayaan yang dikecapi wanita pada hari ini banyak disumbangkan melalui prasarana yang disediakan oleh kerajaan terutama pendidikan hingga ke peringkat tertinggi.
Katanya, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan amat memberansangkan sehingga pernah suatu ketika penyertaan pelajar wanita di institusi pengajian tinggi mencecah 75 peratus dengan 80 peratus daripadanya mencapai gred terbaik.
Saya masih ingat ketika menjadi Setiausaha Agung UMNO pada era pemerintahan Tun Abdul Razak, saya masuk ke kawasan luar bandar hanya untuk memujuk para ibu bapa agar menyekolahkan anak-anak mereka terutama anak perempuan daripada mengahwinkan mereka pada usia muda.
Kita lihat hari ini usaha itu membuahkan hasil yang bukan sahaja memberangsangkan malah amat membanggakan sekali, katanya.
Beliau berkata, kerajaan sejak dahulu telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk pembangunan wanita serta mengenal pasti peranan mereka dalam bidang-bidang lain.
Namun tegasnya, masih banyak yang perlu dilakukan terutama dalam aspek kualiti penglibatan wanita dalam bidang-bidang tersebut.
Ia bukan perkara mustahil kerana wanita mudah dilatih. Apa yang perlu adalah untuk terus menyediakan prasarana terbaik untuk mereka, katanya.